CINTA. Apa ia cinta? Jika kita berbicara tentang cinta, pasti kita
tidak terlepas daripada memperkatakan tentang cinta monyet yang menjadi
nadi kepada kehidupan muda-mudi masa kini.
Malahan kebanyakan cinta seperti ini menjurus kepada pelakunya untuk
membuat perkara maksiat tanpa menilai dan memahami erti cinta yang
sebenar-benarnya. Cinta bukanlah sekotor itu.
Apakah maksud atau makna cinta? Cinta sebenarnya merupakan satu
fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud hasil daripada
satu perasaan yang halus. Cinta mewujudkan perasaan kasih sayang dan
belas kasihan sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Tanpa perasaan
cinta, seseorang itu akan merasai kekosongan di dalam jiwa mereka dan
bila mereka merasai kekosongan itu maka sunyilah hidupnya.
Cinta yang hanya berpaksikan runtutan fitrah tanpa dicemari oleh hawa syahwat melambangkan kedamaian, keamanan dan ketenangan.
Bagaimanapun, cinta seringkali diperalatkan untuk melepaskan
keghairahan nafsu. Maka akan terjadi bermacam perkara yang merosakkan
manusia dan membawa kepada kemaksiatan dan kehancuran umat terutama bagi
golongan remaja yang terlalu taksub dan asyik dengan cinta tanpa ada
penilaian dan pertimbangan akal fikiran yang waras.
Cinta yang hanya berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah
cinta palsu yang penuh jijik dan hina. Oleh hal yang demikian itu,
sebagai remaja, terutamanya remaja mukmin, kita sewajarnya peka terhadap
kehadiran cinta di dalam jiwa dengan lebih memahami makna dan erti
serta cara yang sesuai untuk menerima dan memberi cinta kepada
seseorang. Jangan hanya membuta tuli dan mengikut tuntutan nafsu semata.
Cinta dan permasalahannya telah menjadi perkara serius yang dihadapi
oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta
palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik.
Krisis cinta palsu telah menyebabkan umat Islam memusnahkan etika
spritual – membunuh solidariti dan menodai sosial sehingga ada yang
sanggup membunuh dan membunuh diri akibat daripada tekanan perasaan yang
sukar untuk dikawal.
Islam tidak memusuhi cinta. Ini sesuai dengan ciri-ciri Islam sebagai
agama yang menepati fitrah manusia. Malah, Islam memandang tinggi
persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang
menjiwai naluri setiap manusia.
Cinta Menurut Pandangan Islam
Bagaimanapun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri seperti:
1. Cinta kepada Allah
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia, iaitu
cinta kepada Allah. Tanpa cinta kepada Allah, perlakuan hamba tidak
memberi pulangan yang bererti, sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada
Islam ialah mengenali dan dan mencintai Allah. Dengan cinta akan
mendorong manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menerbitkan
iman yang mantap.
Firman Allah s.w.t:
“… (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”(Surah Al-Baqarah : 165)
“… (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”(Surah Al-Baqarah : 165)
2. Cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Para Anbia´
Ketika manusia berada di dalam kegelapan, maka diutuskan pembawa obor
yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan
kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah s.a.w.
Maka, menjadi satu kewajipan kepada setiap yang mengaku dirinya
sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para anbia´
dengan mengikut segala sifat yang terpuji.
Kerana perasaan kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa
dan menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan
Rasulullah s.a.w dalam usaha Baginda untuk menyebarkan agama Islam.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:
“Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda:
Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara
itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai
Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai
seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah
Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga
tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Bukhari: no. 15, Muslim no.
60, Tirmizi: no. 2548, Nasaie: no. 4901)
3. Cinta Sesama Mukmin
Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk
menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya
mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain daripada cinta kepada kedua-dua
ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin sebagai syarat
kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah
s.a.w.
Maksud firman Allah s.w.t:
“… Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)…” (Surah Al-Fath: 29)
“… Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)…” (Surah Al-Fath: 29)
Inilah yang telah diajar oleh Islam. Maka masyarakat sejagat, malah
umat Islam sendiri dapat melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih
sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam dan begitu jualah agungnya
penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya supaya tidak mencemarkan
kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.
Itulah cinta di dalam Islam. Ia haruslah diasaskan di atas dasar
keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan
iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk
diperlakukan oleh ´syaitan cinta´ sewenangnya-wenangnya.
Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan merupakan cinta palsu walaupun
dihiasi dengan rayuan manja kerana itu hanya panggilan ke lembah
kebinasaan. Masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali
berlaku dalam hidup dan tidak berulang lagi untuk kali kedua atau
seterusnya.
Maka dalam meniti usia, remaja perlu berhati-hati dengan mainan
perasaan walaupun merupakan perkara yang amat sukar dilakukan, apatah
lagi semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam.
Itulah azam kita untuk melawan nafsu dan alangkah malunya untuk kita
tewas dan kita sendiri merelakan diri dibawa oleh arus yang
menghancurkan.
Wallahu'aam bishowab
dinukil dari
http://harianislam.com/
Jangan jadikan diri kita sebagai hamba cinta yang hanya berlandaskan
nafsu tanpa pertimbangan akal yang waras. Kita seharusnya mengawal
perasaan cinta kerana jika terlalu obses terhadap seseorang, manusia
biasanya akan hilang kawalan dan tidak dapat menerima hakikat
kehilangan, lantas sanggup melakukan sesuatu yang buruk untuk melepaskan
perasaan kecewa
Tidak ada komentar:
Posting Komentar