Rabu, 27 Februari 2013

PERHIASAN DUNIA

Bismillahirrahmanirrahim,

Setiap wanita pasti menyukai kecantikan dan mempunyai keinginan untuk menjadi jelita, luaran mahupun dalaman. Dan Allah S.W.T. mencipta kebanyakan manusia itu cukup sifatnya, yakni indah fizikalnya. Ia bergantung kepada wanita itu sendiri sama ada ingin mengindahkan nurani dengan akhlak dan peribadi yg mulia, atau sebaliknya.

“Sesungguhnya Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian,” (At-Tin: 4)

Persoalannya, apakah ciri-ciri wanita yang dikatakan jelita hati dan nuraninya?

Kecantikan Hati
Tiada perasaan riak, ujub dan takbur. Hatinya bersih dari sebarang perasaan iri hati dan hasad dengki. Dia mengharapkan kejayaan dan kegembiraan orang lain, dan tidak mengharapkan nikmat yg dirasai orang sekelilingnya hilang sekelip mata.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada diri iri hati ataupun tidak? Tanya diri, apakah dirimu senang meluahkan pujian dan tahniah kepada insan yg mendapat nikmat dariNya dan bahagia hidupnya? Andai sukar, ketahuilah bahawa mungkin hatimu itu ada perasaan sedemikian.

Bagaimana:
Gantikanlah perasaan iri hati itu dengan bersyukur kepadaNya, kerana sahabatmu memperoleh nikmat yg tiada terhingga dariNya. Perbaiki diri, agar diri menjadi lebih baik, bukan mengharapkan hilangnya nikmat itu dari sahabatmu.

Jangan mencari kesalahan orang lain, dan dalam apa-apa permasalahan sekalipun, bermuhasabahlah diri terlebih dahulu dan lihatlah kekurangan diri sebelum menuding jari ke kanan dan ke kiri.

Akhlaknya Solehah
Dia taat kepada Allah dan suruhanNya. Dia menutup aurat sebagaimana disarankan agama, dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, berbuat baik juga dengan jiran tetangga, taat dan melayan suami dengan sepenuh hati, menjaga dan mendidik anak sebaik mungkin, dan yg paling penting, dia senantiasa memperbaiki dan memperbanyakkan amal ibadahnya.

Bagaimana:
Memahami dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran, yakni mengambil ilmu dan beramal dengannya. Menjadikan Allah sebagai tujuan utamanya, yakni setiap perkara yang dilakukan disertai niat kerana Allah.

“Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap orang itu akan memperolehi apa yang ia niatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lembut Hatinya
Dirinya mudah untuk meminta maaf apabila melakukan kesilapan dan mudah memaafkan insan lain yang melakukan kesilapan kepadanya. Egonya tidak setinggi langit, dan dirinya mudah dibentuk mengikut acuan agama. Wanita yang suka mendahului meminta maaf walaupun dirinya tidak bersalah digambarkan mempunyai peribadi yang cukup tinggi dan mudah disayangi.

Bagaimana:
Maafkan segala kesilapan insan lain yg pernah melukakan hatimu setiap hari, yakni sebelum diri melelapkan mata untuk menghadapi hari esok, walaupun insan tersebut tidak pernah meminta maaf. Ringankanlah bibir untuk mengucapkan kata maaf kepada insan lain, kerana mungkin dirimu pernah melukai hatinya tanpa disedari, apatah lagi kalau dirimu jelas melukakan hatinya.

Sejuk Mata Memandang
Wanita sebegini sememangnya mendamaikan perasaan insan yang melihatnya, dan pastilah dapat menenangkan hati si suami tatkala memandangnya.

Bagaimana:
Bersopan santun, sentiasalah memaniskan wajah dengan sentiasa tersenyum, menutup aurat dan juga menundukkan pandangan terhadap perkara yang tidak harus dipandangnya.

Penyayang
Hatinya penuh dengan kasih sayang kepada insan-insan di sekelilingnya, dan juga makhluk-makhluk yg diciptakan Tuhan seperti kucing dan sebagainya.

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah S.A.W. "Barangsiapa yang tidak menyayangi (mengasihi) sesama manusia, nescaya Allah tidak akan menyayangi (mengasihi)nya," (Muttafaq ‘alaih)

Bagaimana:
Suburkanlah perasaan berkasih sayang di dalam hati dengan menyuburkan keikhlasan terlebih dahulu, yakni berkasih sayanglah kerana Allah, bukan kerana ingin mengharapkan balasan dan sebagainya. Buka hati dan minda untuk melihat kebaikan daripada melihat keburukannya. Fokuslah kepada kebaikannya!

Lemah Lembut
Lemah lembut bicara dan tindak tanduknya. Lemah lembut ini tidaklah bermakna dirinya lemah, yakni mudah ditindas sewenang-wenang dan sebagainya. Lemah lembut menjadi satu tarikan dalam dirinya, yg boleh menjadikan insan di sekelilingnya hormat dan menyayanginya.

Bagaimana:
Tidak meninggikan suara melebihi dari yg seharusnya. Mengucapkan kata-kata yg perlu dan bukannya bicara yg menyakitkan hati dan telinga. Fikir sebelum meluahkan kata-kata dan fikir sebelum melakukan apa sahaja tindakan. Lunakkan suara apabila berbicara, namun bukan pada lelaki yg mahram dan sebagainya.

Penyabar
Dirinya tidak mudah mengikut nafsu amarah dan ego yang menjulang tinggi ke langit. Dirinya tidak mudah melenting apabila ditegur dan dimarah.

Bagaimana:
Tarik nafas sedalamnya apabila marah. Sekiranya waktu itu sedang berdiri, duduklah. Sekiranya waktu itu sedang duduk, maka berbaringlah. Dan andai perasaan marah itu juga tidak menghilang, ambillah wuduk dan berzikirlah mengingatiNya. Andai anda marah kerana teguran, bermuhasabahlah. Mungkin teguran itu baik untuk anda dan anda tidak menyedarinya.

"Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring," (Hadith Riwayat Ahmad & Abu Daud)

“Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk, ”(Hadith Riwayat Ahmad & Abu Daud)

Berkeyakinan Diri
Dia berbicara dengan penuh yakin. Dia berjalan dengan penuh yakin. Dia meluahkan pendapatnya dengan yakin. Namun ia tidak bermakna dia menganggap pendapatnya benar belaka, dan berpendapat untuk mencari kebenaran, bukannya untuk sebuah kemenangan.

Bagaimana:
Menjadi diri sendiri yakni segala tindak tanduknya berasal dari hati dan jiwa yang ingin berubah ke arah kebaikan, bukan kerana terikut-ikut dengan orang lain. Apabila diri menjadi diri sendiri, keyakinan itu akan terserlah dengan sendirinya dan diri tiada dibayangi insan lain.

Bahasa Tubuh Yang Baik
Wanita yang mempunyai bahasa tubuh yang baik ini biasanya mudah didekati dan mudah juga menawan hati yang melihatnya.

Bagaimana:
Ekspresikan pendapat dan perasaan anda melalui tubuh, namun jangan sampai melampaui batas dan berlebih-lebihan. Bahasa tubuh memudahkan mesej yg ingin disampaikan lebih mudah diterima dan difahami oleh si pendengarnya. Senyumlah ketika berbicara dan jadilah pendengar yg baik juga.

Bersemangat dan Bermotivasi
Hatinya selalu berkobar-kobar dan dipenuhi dengan perkara-perkara yg positif, dan tidak mudah untuk berputus asa sebegitu sahaja. Bicaranya bersemangat dan boleh juga menaikkan semangat dan motivasi insan yang berada di sekelilingnya

Bagaimana:
Fikirkan perkara-perkara positif dan buanglah segala perkara yg negatif. Selalu ingin memajukan diri dan berusaha untuk menjadikan hari ini lebih baik dari sebelumnya. Selalu bermuhasabah dan memperbaiki segala salah silap dan berusaha menjadikan setiap hari yang dilaluinya itu produktif.

Mencintai Ilmu
Wanita sebegini mempunyai ilmu di dada, dan juga mengamalkan apa yang diketahuinya. Dia dihormati dengan ilmu yang diketahuinya, namun tidak mendabik dada dengan segala ilmu pengetahuannya dan selalu merasakan ilmunya tidak pernah cukup, menyebabkan dia begitu dahagakan ilmu.

Bagaimana:
Perbanyakkan membaca dan isilah masa terluang dengan membaca dan berfikir. Catat apa yang dipelajari kedalam buku atau jurnal supaya dapat merujuk kembali andai terlupa apa yang telah diketahuinya.

Berprinsip
Hidupnya penuh berprinsip iaitu ia menjadi agama sebagai sandarannya. Berprinsip tidak bermakna kaku, namun dia menjadi fleksibel apabila perlu tetapi tetap tidak melampaui batas agama.

Bagaimana:
Terapkan apa yang diajar Al Quran dan sunnah ke dalam diri dan jadikanlah Al Quran dan sebagai panduan harian. Berprinsip akan menyebabkan diri dihormati, dan tidak diperlakukan dengan perkara yg tidak baik sewenang-wenangnya.

Cantik
Dia tahu apa yang cantik untuk dipakainya namun dia tidak melampaui batas dan juga tidak bertabarruj.
Walau apa yang dipakainya, dia tetap menutup aurat dan tidak mempamerkan keindahan tubuh kepada bukan yang berhak.

Bagaimana:
Ambil tahu perkembangan fesyen namun memilih-milih apa yang baik dan tinggalkan apa yang buruk. Menjaga bentuk badan sewaktu gadis dan juga setelah berkahwin dan mendapat anak namun hanya menunjukkan kecantikan tubuh badan kepada yg berhak yakni suami. Jagalah kehalusan kulit dengan rawatan tertentu agar kulit cantik dan berseri.

Ketahuilah apabila kecantikan seseorang itu benar-benar akan terserlah apabila cantik peribadinya. Memiliki kecantikan luaran sahaja umpama kerang yang tidak berisi, digilap dibersih nampaklah kecantikannya namun tetap kosong. Memiliki kecantikan luaran dan dalaman umpama kerang yang berisi sebuah mutiara yg begitu indah, menyebabkan dirinya begitu berharga dan dilihat sungguh indah. Apabila dimiliki, sukar untuk dilepaskan.

Mungkin ada seribu lagi cara bagaimana untuk menjadi cantik nurani dan hati, jelita dalaman dan luaran namun apa kata sekiranya diri fokus pada apa yang telah disenaraikan di atas terlebih dahulu, agar apa yg asasnya itu teguh dan kukuh.

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,” (Hadis Riwayat Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)


http://www.facebook.com/p-Lembut-HatiMu-Anggun-PribadiriMU

Tidak ada komentar:

Posting Komentar